Piala Dunia: Mexico Mara Pusingan Kedua Atasi Croatia
Mexico mengiringi Brazil mara ke pusingan kedua hasil kejayaan menewaskan Croatia 3-1 pada pertemuan terakhir Kumpulan A di Arena Pernambuco, sebentar tadi.
Kemenangan begitupun sekadar meletakkan Mexico selaku naib juara kumpulan selepas dibezakan dengan jaringan gol berbanding tuan rumah.
Selepas buntu mencipta jaringan pada babak pertama, rentak perlawanan berubah pada separuh masa kedua dengan gol pembukaan Mexico disumbat kapten pasukan, Rafael Marquez menerusi tandukan pada minit ke-72.
Dan sekalipun lebih menguasai permainan, gawang Croatia sekali lagi tumbang tiga minit berselang menerusi rembatan menarik Andres Guardado yang menewaskan penjaga gol Croatia, Stipe Pletikosa.
Jaringan ketiga Mexico pula disumbang penyerang gantian, Javier Hernandez pada minit ke-82 yang bermula daripada sepakan sudut Hector Herrera.
Croatia tidak mudah mengalah dan merapatkan jaringan menerusi Ivan Perisic pada minit ke-87 namun sudah terlewat untuk bangkit lebih-lebih lagi selepas terpaksa bermain 10 pemain apabila pemain gantian, Ante Rebic diarah keluar padang.
Lawan Mexico di pusingan kedua adalah Belanda yang juga naib juara dunia, empat tahun lalu di Afrika Selatan.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment