‘Majistret, Tolong Penjarakan Anak Saya’
Akibat mengugut bunuh ibunya dengan pisau bulan lalu, seorang pemandu katering dijatuhi hukuman penjara setahun di Mahkamah Majistret di Kota Bharu, semalam.
Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Fairul Rahimi, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut mempertimbangkan keterangan impak mangsa iaitu ibu tertuduh yang mahu anaknya dipenjara selama setahun terhadap kesalahan berkenaan.
“Saya minta dia dipenjara setahun dan berharap dia dapat mengubah perangainya kerana sebelum ini dia beberapa kali mengugut saya dan adik beradiknya yang lain,” katanya sambil menangis teresak-esak.
Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan daripada tarikh ditangkap pada 25 November 2013.
Mohd Fairul yang berada di kandang tertuduh hanya menundukkan wajahnya selepas mendengar keputusan mahkamah itu.
Mengikut pertuduhan, Mohd Fairul didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mendatangkan kecederaan terhadap Jarah Mohamed, 54, dengan sebilah pisau di Lot 11, Kampung Jambu, Jalan Panji di sini pada jam 1 tengah hari, 25 November 2013.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh secara tiba-tiba mengamuk dan mengancam mahu membunuh mangsa sambil mengacukan pisau.
Terdahulu, Mohd Fairul dalam rayuannya memohon hukuman ringankerana sudah insaf kesalahannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abd Hamid memohon hukuman berat terhadap tertuduh kerana mangsa adalah ibu tertuduh.
This entry passed through the Full-Text RSS service - if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment