Berita Terkini Pelajar Politeknik Pasir Gudang Kena Culik
Seorang pelajar politeknik di Johor mendakwa dia diculik bersama tujuh kanak-kanak berbangsa Cina, India dan Melayu di Johor Bahru selepas berjaya melarikan diri, di sini, pagi ini.
Mangsa berusia 20 tahun yang tinggal di rumah sewa di Pasir Gudang berkata, dia diculik ketika sedang membuka pintu pagar rumahnya untuk keluar membeli makanan, kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan langsung tidak sedarkan diri dan apabila tersedar mendapati dirinya sudah berada dalam lori yang tertutup bersama tujuh kanak-kanak terbabit termasuk yang paling muda berusia lima tahun.
Mangsa dikatakan berjaya melarikan diri selepas bertindak terjun dari lori terbabit yang berhenti untuk mengisi minyak di sebuah stesen berhampiran Hospital Dungun kira-kira jam 7.05 pagi tadi lalu mendapat bantuan seorang penjual akhbar yang berada kira-kira 200 meter dari stesen minyak berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa tidak sempat mengecam nombor pendaftaran lori terbabit kerana melarikan diri dalam keadaan ketakutan dan bimbang disedari oleh penculik terbabit.
Seorang penduduk yang secara kebetulan berhenti membeli akhbar di situ turut membantu dan membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan.
Dalam laporan polis, mangsa mendakwa penculik terbabit terdiri daripada tiga lelaki Melayu dan semua mangsa akan dibawa ke Kelantan sebelum dibawa masuk ke Thailand untuk dijual.
Sebelum tiba di Kelantan dan memasuki Thailand, mangsa mendakwa penculik akan membuat pertukaran kenderaan yang akan dilakukan di Kuala Terengganu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.
Katanya, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada IPD Pasir Gudang untuk siasatan lanjut dan pihaknya telah memaklumkan kepada semua balai polis daerah dan negeri yang bersempadan untuk pemantauan.
This entry passed through the Full-Text RSS service - if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment