‘Pengantin’ Separuh Bogel Bakal Didenda RM100!
Ekoran sebaran yang dilakukan melalui media sosial, masyarakat sekali lagi gempar dengan aksi sepasang kekasih yang dipercayai baru berkahwin, menjalani sesi fotografi mereka dalam keadaan separuh bogel.
Beberapa laman blog sebelum ini mendakwa foto pasangan itu tersebar, ekoran tindakan kedua-dua pengantin itu yang menjalani sesi tersebut dan berjalan di sekitar Jalan Sultan Yussof, Ipoh, Perak dalam keadaan separuh bogel.
Dalam foto yang tersebar di Facebook dan Twitter itu, wanita tersebut kelihatan hanya memakai baju dalam dan seluar dalam putih beserta kain layah menutup kepala, manakala pasangannya hanya memakai seluar panjang hitam dan tidak berbaju.
Selain gambar, terdapat juga video pasangan tersebut yang dimuatnaik oleh pengguna di Facebook.
Sementara itu, polis Perak ketika dihubungi mengesahkan akan mengambil tindakan terhadap pasangan tersebut di atas kelakuan mereka yang disifatkan ‘tidak bermoral dan berakhlak’, itu.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan akan menyiasat kejadian tersebut mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.
Walaupun masyarakat lega dengan kenyataan tersebut, namun seorang pengamal undang-undang ketika dihubungi SuaraTV berkata sekiranyan disabitkan dengan kesalahan pasangan tersebut hanya akan dikenakan denda sebanyak RM100 sahaja.
“Kalau ikut undang-undang, pasangan tersebut sekiranya disabitkan dengan kesalahan hanya akan di denda sebanyak RM100.00.
“Pada saya pasangan tersebut sepatutnya disiasat di bawah Akta yang lain, kerana tindakan mereka semalam seperti ingin bermain dengan undang-undang” katanya.
Di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336), Seksyen 14 – Kelakuan Aib, sesiapa pun yang menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan, mengugut, aib atau menghina atau berkelakuan dengan cara yang mengugut atau menghina atau menampalkan atau melekatkan atau mempamerkan sebarang kertas bertulis atau lukisan yang kurang sopan mengugut aib atau menghinakan dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan atau di mana keamanan mungkin terganggu boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100.
Menurut peguam yang enggan mendedahkan identitinya itu, tindakan pasangan itu juga boleh dikategorikan sebagai menganggu ketenteraman awam kerana tindakan tidak senonoh itu.
“Sebelum ini, kita dikejutkan dengan tindakan kumpulan yang mengadakan pesta sukan bogel di Teluk Bahang, dan pihak polis mengunakan Seksyen 509 Kanun Keseksaan bagi melakukan sisatan berbanding pasangan ini.
“Saya takut dengan denda yang kecil ini, akan ada lagi kes-kes seumpamanya yang sengaja diadakan bagi mencemarkan imej Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai sebuah negara Islam” katanya lagi.
Menurut beliau lagi mungkin ada di kalangan mereka (masyarakat bukan Islam) yang enggan mengakui hakikat itu, tetapi mereka sepatutnya menghormati masyarakat Islam dan Melayu yang merupakan kelompok terbesar di negara ini.
Seksyen 509 Kanun Keseksaan memperuntukan, barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment