Tiket Raya Ke Pantai Timur Habis Dijual Dalam 15 Minit
Mungkin sukar untuk dipercayai, tetapi itulah realitinya; tiket yang dijual di kaunter jualan tiket kereta api yang dibuka pada jam 8.30 pagi, habis dalam masa 15 minit sahaja.
Ia melibatkan perjalanan menghala ke utara dan negeri pantai timur, Kelantan.
Tinjauan di kaunter jualan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendapati, tiket mulai 22 hingga 27 Julai sudah habis dijual.
Bagaimanapun, jurujual di kaunter tiket memaklumkan, tiket menghala ke selatan masih ada, walaupun jumlahnya tidak banyak.
Umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 28 Julai ini. Seperti biasa, rata-rata warga kota akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan ketibaan 1 Syawal bersama keluarga.
Ketika ditanya sama ada KTMB merancang menyediakan tren tambahan, jurujual itu memaklumkan, setakat ini tidak ada.
Jelasnya, tren tambahan boleh disediakan, tetapi bergantung kepada keadaan tren itu, sama ada ia mampu berjalan jauh atau tidak.
Selain kereta api, senario sama juga berlaku di Hentian Putra, di mana hampir semua tiket bas ke Kelantan habis dijual.
Tiket untuk pulang beraya mula dijual sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun, sedikit khabar gembira buat mereka yang hendak pulang ke Kelantan, terdapat beberapa syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan bas tambahan.
Berbeza pula dengan keadaan di Hentian Jalan Duta, di mana tiket bas menuju ke bahagian utara masih ada.
Menurut jurujual yang ditemui, mereka menjangkakan tiket akan habis dijual, beberapa hari sebelum hari raya.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment