Kes Solat Dua Imam Selesai, Jheaik Lantik Imam Berkecuali
Kehadiran imam yang dilantik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) berjaya menyelesaikan isu solat dua imam di Masjid Pondok Banggol Stol, semalam.
Sebelum ini wujud dua kumpulan menunaikan solat fardu dan solat sunat tarawih mengikut dua imam berbeza akibat pendekatan Islam berbeza tetapi bermula solat Subuh (semalam) penduduk dilihat menunaikan solat dalam satu saf yang sama.
Imam yang dilantik pula tidak menyebelahi mana-mana pihak, mengimamkan solat fardu dan tarawih di sepanjang Ramadan dan mungkin dilanjutkan ke solat sunat Aidilfitri kelak.
Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenali Wan Kamariah berkata, masalah yang berlaku sejak 3 Julai lalu hanya selesai selepas campur tangan Jheaik, semalam.
Katanya, sebagai langkah adil, Jheaik tidak memilih imam dari kedua-dua kumpulan untuk mengimamkan solat di masjid ini.
Menurutnya, setiap solat fardu diberi kepada imam berlainan sama ada dari Rantau Panjang mahupun Pasir Mas.
“Kami dimaklumkan ada senarai nama imam luar akan ditugaskan menjadi imam solat berjemaah bersama penduduk di sepanjang bulan puasa.
“Walaupun tiada imam hadir untuk solat Subuh pada hari Ahad lalu, namun masalah ini berjaya diselesaikan sepenuhnya semalam,” katanya.
Seorang lagi, Hamzah Abdullah, 54, berkata, dia menyambut baik campur tangan pihak Jheaik menangani masalah ini memandangkan ia berlanjutan sejak 2011 lalu.
Menurutnya, jika Jheaik tidak hadir menyelesaikan kemelut dua imam ini, penduduk percaya masalah itu tidak akan diselesaikan tahun ini.
“Selepas mendapati imam dari masjid lain hadir, penduduk lebih yakin menunaikan solat di sini kerana tidak memihak kepada mana-mana kumpulan,” katanya.
Namun timbul persoalan katanya, sekiranya imam yang dilantik tidak dapat hadir apakah masalah solat dua imam akan berulang lagi.
Tambahnya lagi, penduduk mempersoalkan mengapa pihak terbabit menunggu hampir empat tahun untuk menyelesaikan kemelut dua kumpulan ini.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment