‘Menggigil Saya Tengok Wajah Abang’
Seorang pekerja sebuah syarikat kontraktor yang sedang melakukan kerja membaik pulih paip gas yang bocor maut, manakala tiga rakan sekerjanya tercedera selepas berlaku letupan di Loji Pemprosesan Gas 4 (GPP4) Petronas Gas Bhd Kerteh, di sini, kira-kira jam 11.15 malam kelmarin.
Akibat letupan itu, mangsa, Muhammad Firdaus Hassan, 26, yang turut mengalami luka di bahagian dahi maut di tempat kejadian dipercayai akibat lemas kerana terhidu gas.
Adik mangsa, Muhammad Hafizuddin, 22, yang bekerja di syarikat sama berkata, tubuhnya menggeletar sebaik melihat abang sulungnya itu terbaring kaku apabila dia tiba di lokasi kejadian selepas mengetahui mengenai tragedi tersebut.
“Menggigil tubuh saya lepas tengok wajah abang kebiru-biruan dan lehernya pula bengkak. Di dahinya ada kesan luka,” katanya sebak.
Menurutnya, pada hari kejadian abangnya melakukan kerja lebih masa sementara dia pula berada di surau sambil menunggu abangnya itu habis bekerja untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Sura Jetty, Dungun, bersama-sama.
Kata Muhammad Hafizuddin yang juga anak kedua daripada lapan beradik, kira-kira jam 7.30 petang beberapa jam sebelum kejadian, dia sempat melihat abangnya melakukan kerja menampal paip gas yang bocor.
“Saya dan abang baru dua bulan bekerja di kawasan ini dan abang baru dua kali melakukan kerja-kerja di dalam loji,” katanya yang masuk bekerja bersama abangnya kira-kira jam 8 pagi kelmarin.
Mayat mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian kira-kira jam 2.35 pagi dan dihantar ke Hospital Kemaman di Chukai untuk pemeriksaan lanjut.
Ciuman terakhir
Ibu mangsa, Selma Deraman, 46, berkata, anak sulungnya itu baru sahaja memberikan duit belanja kepadanya dua hari lalu sebaik sahaja menerima gaji dan sempat mencium pipinya.
“Arwah tidak tunjukkan sebarang sikap ganjil, cuma dia kelihatan sangat gembira belakangan ini sebab sudah dapat bekerja di negeri sendiri. Sebelum ini dia bekerja di Kuantan, (Pahang) dan apabila dapat kerja di Kerteh, dia boleh tinggal di rumah dan berulang-alik ke tempat kerja setiap pagi.
“Tapi kegembiraan ini tak berpanjangan. Kami sekeluarga reda kerana ALLAH SWT lebih menyayangi arwah,” katanya.
Terkilan tak sempat bertemu arwah
Bapa mangsa yang merupakan kakitangan Telekom Malaysia (TM) Cawangan Dungun, Hassan Husin meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat bertemu arwah yang keluar bekerja sejak awal pagi.
“Kebetulan kelmarin saya kerja syif malam dan sebaik pulang ke rumah dia sudah pergi kerja. Dah banyak hari saya tak sempat bertemu arwah kerana waktu kerja kami berbeza,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara arwah, Latifah Deraman, 53, yang menjadi Pengerusi KRT Kampung Paya Berenjut berkata, kehilangan Muhammad Firdaus begitu dirasainya kerana arwah rapat dengannya.
“Sejak tiga hari sebelum ini bahu saya bergerak-gerak dan saya rasa tak sedap hati. Ekoran rasa tidak sedap hati itu juga saya tak dapat tidur semalaman dan melakukan solat hajat agar dijauhkan segala musibah. Namun sudah ketentuan Ilahi, arwah pergi dahulu,” katanya sambil menitiskan air mata.
Petronas Gas salur bantuan
Dalam perkembangan sama, menurut kenyataan rasmi Petronas Gas Bhd, pihaknya menyalurkan bantuan kepada ahli-ahli keluarga mangsa yang terlibat.
Susulan kejadian itu juga pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa menyiasat punca kemalangan.
Kumpulan syarikat Petronas juga mengambil langkah-langkah keselamatan yang ketat mengikut piawaian antarabangsa di semua tempat operasi mereka.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, pemeriksaan terhadap mayat mangsa selesai kira-kira jam 10.30 pagi.
Mayat Muhammad Firdaus yang dituntut keluarga disemadikan di kampung halamannya di Dungun selepas solat Zohor.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment