Nahas Helikopter #as350: Whatsapp Terakhir Pengawal Peribadi Datuk Noriah
SITI Noriah Harun menunjukkan pesanan aplikasi WhatsApp terakhir daripada abangnya, Ahmad Sobri Harun yang merupakan pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, di kediamannya hari ini.- Foto BERNAMA
KUALA NERUS – “Sdap ape..xsedap..(sedap apa..tak sedap)”.
Ia WhatsApp terakhir Ahmad Sobri Haron, 26, yang turut berada di dalam helikopter yang nahas di Sarawak, kepada anggota keluarganya apabila diusik bahawa beliau akan seronok dapat menaiki helikopter.
Kiriman dihantar beliau pada 2.15 petang semalam itu, mendapat reaksi adik-beradiknya yang lain, dan ada mendoakan supaya beliau selamat mendarat, namun tiada sebarang balasan daripada mangsa.
Adik bongsu Ahmad Sobri, Siti Noriah, 22, berkata abangnya yang dipanggil Abang Cik itu, baru sahaja pulang ke kampung pada hujung April lalu dan sempat membawa kedua ibu bapa mereka bercuti di Cameron Highlands.
“Abang Cik (Ahmad Sobri) seorang yang penyayang. Saya berdoa agar abang cik selamat,” katanya dalam nada hiba ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Bukit Cempaka di sini.
Siti Noriah berkata, Ahmad Sobri yang masih bujang, amat meminati kerjaya sebagai anggota polis dan mula menjadi pengawal peribadi sejak tiga tahun lepas.
Katanya, Ahmad Sobri menamatkan latihan polis pada 28 Dis 2012. Beliau merupakan pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.
Siti Noriah berkata, keluarganya hanya menyedari berlaku nahas membabitkan anak keempat daripada lima beradik itu, menerusi televisyen pada Khamis malam.
“Mak dan ayah serta dua adik beradik lain telah ke Kuching. Mak dan ayah keluar dari sini sejak 12 tengah hari tadi dan kedua beradik lain akan tunggu di KLIA,” katanya, yang turut menunjukkan gambar kiriman Ahmad Sobri menerusi WhatsApp sekitar 11.50 pagi Khamis.
Gambar tersebut menunjukkan Ahmad Sobri sedang ‘berselfie’ bersama seorang lagi di dalam sebuah helikopter.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berharap Ahmad Sobri terselamat dan keluarganya tabah menerima dugaan tersebut. – Bernama/BH
Makluman: Artikel Nahas Helikopter #as350: Whatsapp Terakhir Pengawal Peribadi Datuk Noriah termasuk media, gambar dan video bukannya penulisan, idea atau pandangan dari Admin Natang Ngoh. Laman blog ini adalah medium hebahan an perkongsian social. Semua Artikel, Gambar dan Video di laman ini adalah ulangsiar artikel viral dan popular dari website berita semasa. Much More respect from Natang Ngoh. Penghargaan kepada jomkapel penulis asal Nahas Helikopter #as350: Whatsapp Terakhir Pengawal Peribadi Datuk Noriah
Post a Comment