Viral gambar budak darjah satu Solat Dhuha setiap hari
VIRAL GAMBAR BUDAK DARJAH SATU SOLAT DHUHA SETIAP HARI
“Amsyar sama seperti budak lain juga, cuma dia jenis yang pentingkan kesempurnaan,” kata bapa kepada murid Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 1, Muhammad Haziq Amsyar, 7.
Gambar Amsyar mula menjadi viral di laman sosial apabila guru di sekolahnya itu memuat naik gambarnya menunaikan solat duha setiap hari.
Menurut bapanya, Ahmad Mustamam Alang Ahmad, 39, dia sendiri terkejut diberitahu gambar anaknya mula tersebar di laman sosial dan mendapat perhatian masyarakat.
“Semalam baru saya tahu tentang perkara ini apabila ada rakan berkongsi gambar berkenaan melalui aplikasi WhatsApp. Memang saya terkejut apabila ia diviralkan.
“Tapi, bagi saya itu perkara biasa sahaja. Sebab Amsyar memberitahu, ada kala murid lain juga turut menyertainya,” katanya.
Ditanya caranya mendidik anak, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, Pasir Mas, ini memberitahu, dia dan isteri yang juga doktor di Klinik Kesihatan Bandar, Tengku Nor Adlina Raja Hussin, 36, lebih mementingkan akhlak berbanding akademik.
“Saya dan isteri amat mementingkan akhlak anak-anak. Didikan solat lima waktu diajar sejak kecil lagi dan Amsyar mula solat penuh sejak usia 5 tahun.
“Tambahan pula, dia berdisiplin dan kadang-kadang dia pula menunggu kita solat berjemaah. Solat duha, dia mula amalkan pada tahun ini tanpa meninggalkannya. Kami ajar dia sendiri dan Alhamdulillah, dia mudah ingat.
“Amsyar mengaji al-Quran dengan neneknya dan kami tidak pernah menghantarnya ke kelas mengaji khas. Sekarang, dia boleh membaca dengan baik 15 juzuk al-Quran,” katanya yang menetap di Taman Guru, di sini.
Tambah Ahmad Mustamam, dia mula menghantar Amsyar ke sekolah sejak usia empat tahun lagi di tadika swasta berdekatan kediamannya.
Sementara itu, anak sulung daripada empat adik-beradik ini memberitahu, dia turut mengajak rakan-rakan sekelasnya untuk menunaikan solat duha bersama di sekolah.
“Pada awal-awal dulu, memang saya seorang sahaja. Namun, ayah suruh ajak kawan-kawan solat bersama. Mereka juga turut sertai saya di surau.
“Apabila tiba waktu rehat, saya akan makan bekal yang diberi ibu terlebih dahulu dan kemudiannya baru solat. Setakat ini, tak ada masalah untuk solat kerana ia dilakukan pada waktu rehat,” katanya yang bercita-cita untuk bergelar anggota polis.
Dalam pada itu, guru besar sekolah, Mohd Nawawi Kelasah memberitahu, amalan muridnya itu wajar dijadikan contoh kepada murid lain.
“Di sekolah, tiada paksaan untuk murid, namun kami amat menggalakkan jika ada yang mengamalkannya. Di sini, murid tahun enam memang mempraktikkan bacaan Yasin dan solat.
“Untuk murid tahun satu hingga lima, mereka digalakkan untuk solat dan jika dilakukan pada waktu rehat, ia tidak mengganggu waktu pembelajaran,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian
Viral gambar budak darjah satu Solat Dhuha setiap hari ini adalah Entri ulangsiar dari Blog Hangat merupakan laman yang popular di Malaysia. Penghargaan kepada Si Hangat iaitu penulis/pemilik asalnya. Much more respect from Natang Ngoh.
Post a Comment