Roti canai hanya 50 sen di Port Dickson
PORT DICKSON - Kedai M2 Kak Anati kelihatan sama seperti gerai lain yang terdapat di tingkat 1 Terminal Bas Port Dickson, namun kedai yang diusahakan Siti Salasiah Sareh Alang, 50, itu mendapat perhatian ramai bukan sahaja kerana menghidangkan roti canai yang enak tetapi ia dijual dengan harga 50 sekeping.
Harga hidangan popular dan kegemaran ramai itu murah berbanding dengan yang ditawarkan oleh kedai lain, malah ada yang menjualnya dengan harga RM1.20 sekeping untuk roti canai kosong.
Bukan sahaja murah, tetapi lebih penting rasanya juga enak ditambah dengan kuah dal dan sambal menjadikan ia hidangan yang sangat berbaloi.
Menurut Siti Salasiah, dia mula menjual roti canai kosong dengan harga 50 sen sejak Julai 2014 dan sehingga kini masih mengekalkan harga tersebut.
“Jual dengan harga 50 memanglah tak untung besar, tapi masih ada untung. Menu lain yang dijual di sini juga menawarkan harga yang berpatutan, boleh kata harga makanan kat sini macam harga dekat kampung-kampung.
"Walaupun sebenarnya akak berniaga di tengah-tengah Bandar Port Dickson yang banyak persaingan dan harga bahan mentah juga tidak kurang mahalnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Siti Salasiah berkata, pada hari tertentu dia juga membuat promosi seperti Sarapan 1 Malaysia dengan hanya RM1.
“Dengan RM1, pelanggan boleh menikmati roti canai dan teh atau kopi O. Promosi ini saya buat sejak 31 Disember 2015 dan berakhir hari ini (semalam) sempena sambutan tahun baru.
“Sambutannya sangat menggalakkan malah ada pelanggan yang meminta agar saya meneruskan promosi ini sehingga hujung tahun.
“Dan hari ini (semalam) saya mula menjual nasi budget serendah RM4.50 dengan menu nasi putih, ayam goreng berempah, sayur dan air sirap dan jenis lauk akan berubah setiap hari,” katanya.
Ibu kepada tiga orang anak ini berkata, pengalaman hidup dan ekonomi keluarganya yang sederhana mendidik dia untuk berniaga sambil beramal.
“Dalam perancangan, akak nak kekalkan harga tu sampai bila-bila selagi masih berniaga, dan akak niatkan sebagai sedekah.
“Akak sebenarnya adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan persekolahan anak-anak, Alhamdulillah seorang baru tamat bejakar di UTM, Skudai, seorang lagi sudah bekerja dalam bidang perniagaan dan yang bongsu berada di tahun ketiga Kolej Vokasional Kuala Klawang.
“Akak pasti kejayaan anak-anak juga hasil berkat doa pelanggan yang datang ke sini,” katanya yang merupakan penerima Bantuan 1Azam dari JKM membabitkan gerai, peralatan dapur, payung, generator dan wang RM2,700 pada Mac 2014.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
Pemilik Natang Ngoh bukan penulis asal Roti canai hanya 50 sen di Port Dickson. Artikel adalah sebahagian dari penulisan asal seorang Tokoh Blogger Terkenal iaitu Encik Ann. Terima Kasih atasa Ihsan Perkongsian. Jutaan Penghargaan kepada Encik Ann. More respect from Natang Ngoh.
Post a Comment