‘Tahniah KJ, tahniah Pemuda Umno kerana berani’
SAYA merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno, dan barisan Exco Pemuda Umno atas kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri.
Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang teguh berpandukan ajaran Islam.
Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden Umno yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti.
Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan Umno, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda Umno dalam meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan jika kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state).
Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang semakin merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.
Mudah-mudahan ALLAH SWT menjauhi kita daripada sebarang malapetaka, na’uzubillahi min zalik.
Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan rakan-rakan saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera. Sebagai Timbalan Presiden Umno, saya menyampaikan kebimbangan saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan Umno bahagian yang saya dijemput hadir sebagai perasmi.
Saya lakukan ini kerana saya sayangkan Umno. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam Umno sendiri yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita.
Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan.
Seorang Ketua Bahagian di Selangor antara yang paling kuat mendesak saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar demi untuk menyelamatkan parti.
Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada Umno cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam Umno lebih 40 tahun. Malah, ketika Umno diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk membina semula Umno di Johor sehingga Umno kembali kuat dan Johor menjadi penyumbang terbesar kemenangan Umno dan BN dalam setiap pilihan raya umum (PRU).
Saya juga tetap setia bersama parti ketika Umno menghadapi pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan.
Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa lagi melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan negara.
Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang dihina selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip kebenaran dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.
Kepada ALLAH saya berserah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
Pemilik Natang Ngoh bukan penulis asal ‘Tahniah KJ, tahniah Pemuda Umno kerana berani’. Artikel adalah sebahagian dari penulisan asal seorang Tokoh Blogger Terkenal iaitu Encik Ann. Terima Kasih atasa Ihsan Perkongsian. Jutaan Penghargaan kepada Encik Ann. More respect from Natang Ngoh.
Post a Comment