Berhulu Camp Serting Ulu ditutup sementara kerana wabak Kencing Tikus
SERTING ULU - Pengurusan pusat latihan dan rekreasi Berhulu Camp di sini menutup sementara operasinya bagi memberi laluan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyiasat kematian seorang pelajar yang mengikuti perkhemahan di Hutan lipur, Jeram Serting Ulu.
Penolong pengurusnya, Mohd Hanif Abd Manap berkata, penutupan itu bermula 1 Jun sehingga 14 Jun susulan pelajar berumur 17 tahun meninggal dunia disyaki terkena virus kencing tikus.
"Arwah merupakan antara peserta bersama dua lagi agensi berbeza yang mengikuti perkhemahan yang diuruskan oleh pusat latihan ini bermula 8 hingga 10 Mei lalu.
"Bermula 31 Mei juga kita terpaksa menolak tempahan program perkhemahan daripada lapan lagi agensi lain pada 1 hingga 14 Jun ini.
"Kita tutup operasi ini sehingga kita memperoleh keputusan sebenar punca remaja berkenaan meninggal selepas disyaki terkena virus kencing tikus,"katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mohd Hanif berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama yang baik kepada KKM agar siasatan berjalan lancar dan menerima sebarang keputusan KKM berhubung insiden ini.
"Sampel dan maklumat berkaitan juga telah diambil oleh mereka (KKM) sebagai siasatan lanjut. Justeru itu, berharap orang ramai tidak akan membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.
"Bagaimana pun, kita sedih apabila berlakunya kes seperti ini berikutan aspek kebersihan keadaan sekitar sejak ianya dibuka pada tahun 2011 adalah perkara yang diambil berat oleh pengurusan kem," katanya.
Terdahulu, satu kenyataan telah dikeluarkan KKM menerusi laman Facebooknya kelmarin menyatakan satu wabak leptospirosis atau kencing tikus berlaku di Berhulu camp, Hutan Lipur melibatkan sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban.
Berdasarkan kenyataan itu juga, 15 pelajar menunjukkan gejala demam, sakit kepala, sakit otot, batuk pada 14 Mei lalu. 14 pelajar itu telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di klinik berhampiran.
Manakala satu lagi kes membabitkan seorang pelajar lelaki berumur 17 tahun dimasukkan unit rawatan rapi (ICU) pada 25 Mei di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban susulan mengalami kompilasi dan kegagalan organ utama dipercayai akibat jangkitan leptospirosis.
Namun, pelajar tersebut disahkan meninggal dunia pada 29 Mei.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
Pemilik Natang Ngoh bukan penulis asal Berhulu Camp Serting Ulu ditutup sementara kerana wabak Kencing Tikus. Artikel adalah sebahagian dari penulisan asal seorang Tokoh Blogger Terkenal iaitu Encik Ann. Terima Kasih atasa Ihsan Perkongsian. Jutaan Penghargaan kepada Encik Ann. More respect from Natang Ngoh.
Post a Comment