Final Piala FA: Hodak tidak teruja kehebatan Ronaldinho
“SAYA tidak teruja dengan kehebatan Patrick Ronaldinho Wleh. Itu komen ringkas Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak yang dilihat melancarkan perang psikologi menjelang perlawanan akhir Piala FA edisi ke-23, Sime Darby FC menentang pasukannya di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Sambil membayangkan pasukannya mempunyai ramuan lengkap bergelar juara kali ini, Hodak menjelaskan tiada apa perlu dibimbangi di sebalik ancaman berbahaya penyerang import Sime Darby FC seperti yang digembar-gemburkan akhbar sebelum ini.
“Dia mungkin bagus dalam Liga Premier apabila menjaringkan gol yang banyak. Tetapi saingan Liga Premier dan Liga Super adalah berbeza.
“Fokus saya hanyalah mempersiapkan pasukan Kelantan bagi perlawanan ini. Tiada siapa mampu menghalang cita-cita Kelantan memandangkan kami merupakan pasukan berkualiti dan menjadi pilihan bergelar juara.
“Pemain saya sudah bersedia sepenuhnya daripada segi fizikal dan mental. Malah jika penentuan juara terpaksa ditentukan dalam masa tambahan atau sepakan penalti sekali pun itu bukan menjadi masalah besar kepada kami,” katanya.
Dalam pada itu, Hodak mengakui berdepan kesukaran untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik memandangkan rata-rata barisan pemainnya kini bersaing hebat untuk merebut tempat di dalam pasukan.
“Dalam kepala saya sudah ada lapan pemain yang bakal disenaraikan. Tiga kekosongan lagi saya belum dapat ilham….mungkin esok (hari ini) atau menjelang hari perlawanan. Saya tahu mungkin ada pemain yang kecewa (tidak disenaraikan), tetapi apa pilihan yang saya ada kerana hanya perlu menyenaraikan 18 pemain terbaik sahaja,” katanya.
This entry passed through the Full-Text RSS service - if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment