"KITA BAKOR JE CIKGU PENGHASUT" - UTHAYA SANKAR adalah Entri ulangsiar dari Laman Isu Panas ! Sebagai sebaran serta perkongsian terkini dan trending di Malaysia. Semoga bermanfaat dan sila sebarkan ke sosial network sekiranya "KITA BAKOR JE CIKGU PENGHASUT" - UTHAYA SANKAR membawa kebaikan kepada kita. Wallahu'alam bissawab.





"KITA BAKOR JE CIKGU PENGHASUT" - UTHAYA SANKAR










Sekadar contoh, katakanlah saya mengklik butang “suka” (like) laman McDonald’s di Facebook.



Sejak sekitar seminggu lalu, memang sudah ada semula kempen hangat-hangat tahi ayam memboikotMcDonald’s seolah-olah rakyat Malaysia makan tiga kali sehari di sana.



Berbalik pada contoh tadi, katakankan pula bahawa seorang kawan membuat tangkapan skrin (screenshot) yang menunjukkan saya “suka” laman McDonald’s.



Dia memaparkan tangkapan skrin itu di akaun Facebook miliknya berserta sedikit catatan bagi meluahkan rasa kesal dan malu kerana kawannya (saya) menyukai McDonald’s.



Sejurus selepas itu, beberapa kawan kami berdua mula menulis komen pada paparan berkenaan. Komen mereka berbentuk penghinaan, mengutuk, ugutan, kata-kata kesat, ancaman dan mahu memboikot saya.



Malah, seorang mencadangkan supaya saya dibakar hidup-hidup kerana telah menyukai lamanMcDonald’s yang termasuk dalam senarai “boikot pilih-pilih” sekumpulan orang yang sebenarnya tidak tahu secara menyeluruh perkembangan sebenar di Gaza.



Selepas dimaklumkan seorang kawan yang prihatin, saya ke dinding (wall) kawan pertama tadi dan melihat paparan tangkapan skrin serta komen-komen yang dipaparkan.



Oleh kerana takut dan bimbang akan keselamatan diri dan nyawa, maka saya ke balai polis terdekat dan membuat laporan.



Dipendekkan cerita, tiga hari kemudian, saya pula disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948.



Saya ditanya bertalu-talu: “Mengapa awak suka McDonald’s? Jawab!”



Saya juga disoal berulang kali: “Macam mana awak kenal Uthaya Sankar SB?”





Insiden sebenar di Bandar Tasek Mutiara

Kisah di atas mungkin kedengaran lucu dan dianggap rekaan semata-mata. Gantikan “McDonald’s” dengan “I Love Israel” dan “kawan” dengan “guru”, maka kita sedang bercakap mengenai peristiwa sebenar yang berlaku di negara bertuah ini pada minggu lalu.



Jika kita meneliti perkembangan kes itu dan membaca pelbagai laporan susulan, ada suatu trend yang amat membimbangkan dan menakutkan.



Jika anda menyukai laman “Free-Gaza” di Facebook, anda mungkin dipuji. Sebaliknya, jika anda menyukai laman “I Love Israel” maka anda mungkin disiasat di bawah Akta Hasutan.



Anda juga mungkin ditanya soalan tambahan: “Macam mana awak kenal Uthaya?” Seolah-olah Uthaya adalah agen Zionis yang datang ke Malaysia untuk merekrut pengebom berani mati!



Sekiranya kita mengikuti kes pelajar berumur 17 tahun di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang yang menjadi mangsa hasutan dan penghinaan guru-guru sekolahnya, kita mungkin ternganga dan tertanya-tanya apakah pihak berkuasa dan golongan guru di negara bertuah ini begitu kurang cerdik.



Dalam laporan polis yang dibuat pelajar terbabit pada 11 Ogos 2014, dinyatakan bahawa dia tidak pernah menyukai laman “I Love Israel” itu.



Mengikut laporan media, pelajar berkenaan juga tidak menulis sebarang komen yang menyokong Israel atau mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh dianggap berbentuk hasutan.



Secara logik, guru yang membuat tangkapan skrin dan memaparkannya di Facebook serta beberapa guru lain yang menulis komen berbentuk hasutan yang sepatutnya disiasat di bawah Akta Hasutan.



Komen orang ramai di media sosial menunjukkan betapa rakyat Malaysia yang berfikiran rasional mempertikaikan tindakan polis yang mahu menyiasat si mangsa iaitu pelajar berkenaan.



Apabila saya membaca kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi bahawa pelajar itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan, saya mengandaikan bahawa media tersalah membuat laporan.





Penghasut terlepas, mangsa terhukum?

Sebagai seorang pengamal media, saya menunggu laporan pada keesokan hari di mana pihak polis mengesahkan bahawa “the media misquoted us” (media tersalah melaporkan kenyataan kami) seperti yang lazim dilakukan politikus.



Pada 14 Ogos 2014, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, ACP Shafien Mamat membuat pembetulan bahawa kes itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan dan bukannya pelajar itu.



Kenyataan berkenaan hanya memberikan kelegaan sebentar kerana pada keesokan hari, Abdul Rahim dilaporkan kembali menegaskan bahawa Akta Hasutan digunakan bagi menyiasat pelajar itu dan bukannya kes itu.



Manakala guru-guru yang melakukan hasutan pula akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Jenayah. Kes mereka juga hanya ditangani pada peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).



Nampaknya mangsa yang terus dimangsakan. Nampaknya minoriti tetap dianggap bersalah kalau pun dia tidak bersalah. Monoriti terus dizalimi.



“Saya tidak faham mengapa pelajar tersebut ditindas. Tindakan guru-guru yang memberi komen dan memboikot pelajar itu merupakan tindakan yang patut diambil perhatian secara serius,” kata Dharshini Radhakrishnan dari Seremban, Negeri Sembilan dalam mesejnya kepada saya.



Sebagaimana sekian ramai orang, Dharshini juga tertanya-tanya di manakah nilai etika mereka sebagai guru yang sepatutnya mendidik pelajar.



“Jika guru sendiri mengambil tindakan memboikot pelajar dan menunjukkan sikap kebudak-budakan, bayangkanlah nasib dan mentaliti generasi muda yang sedang dididik oleh mereka,” katanya.



Dalam siasatan ke ini juga, terdapat ura-ura bahawa perbuatan guru-guru berkenaan dianggap pihak tertentu sebagai tidak berapa berat berbanding perbuatan pelajar itu yang dikatakan telah menyentuh sensitiviti masyarakat dengan menyukai laman “I Love Israel”.



“Cekgi” yang tinggal di Simpang Ampat, Pulau Pinang dan merupakan lepasan pengajian Matematik dari Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang memaparkan tangkapan skrin dengan catatan “Anak muridku suka Israel? Buat malu cikgu saja.”





Kes tarik perhatian dunia

Seorang guru lepasan ijazah sarjana muda seni halus dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga tinggal di Simpang Ampat menulis komen lebih kurang seperti berikut:



“Sedangkan sekutu Israel kita boikot, ini apakan lagi budak ni. Boikot saja. Mulai hari ini dan seterusnya, boikot, jangan berkawan atau berkomunikasi dengannya.”



Seorang lagi guru menulis komen “Kita bakor je hahaha” yang dikatakan dipetik daripada sebuah filem Melayu yang tentu sahaja hanya ditonton sekelompok kecil masyarakat.



Kononnya, menurut pihak tertentu, guru itu hanya berjenaka dengan memetik dialog sebuah filem Melayu. Kononnya tiada sebarang unsur hasutan.



Kes ini mula-mula saya dedahkan menerusi Facebook pada 11 Ogos 2014. Apabila pihak berkenaan gagal menyelesaikannya secara segera dan secara tertutup, maka kenyataan media dikeluarkan pada keesokan hari.



Berkat kuasa media alternatif dan media sosial, kes ini mendapat reaksi dan perhatian bukan hanya rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa.



Sama-sama kita nantikan untuk melihat apakah pihak berkuasa akan tetap meneruskan niat menggunakan Akta Hasutan untuk menyiasat dan menghukum mangsa dalam kes ini, iaitu pelajar berkenaan.



Mungkinkah akan diputuskan bahawa komen “Kita bakor je” hanya merupakan gurauan manja seorang guru terhadap seorang pelajar dengan memetik dialog sebuah filem Melayu?



Jika begitu, kita semua bolehlah sama-sama menggunakan frasa “gurauan” itu tanpa perlu risau dianggap menghasut, mengancam atau menakutkan sesiapa.



Misalnya, “Kita bakor je Cekgi Rodziah Osman, Cikgu Rohani Said dan Cikgu Nor Sabariah Ahmad jika polis gagal menghukum mereka hahaha.”



Namun begitu, saya optimis bahawa guru-guru terbabit akan lebih rasional berbanding polis dalam isu ini. Saya yakin mereka sudah atau akan segera mengakui kekhilafan dan memohon maaf kepada mangsa yang teraniaya.



“Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.” - Mahatma Gandhi

Pupuk Perpaduan. Tolak Perkauman. Raikan Kepelbagaian.





________________________________________

Uthaya Sankar SB adalah perunding media dan penulis sepenuh masa.




"KITA BAKOR JE CIKGU PENGHASUT" - UTHAYA SANKAR ini adalah Entri ulangsiar dari Blog Isu Panas merupakan laman yang popular di Malaysia. Penghargaan kepada Mr Panas iaitu penulis/pemilik asalnya. Much more respect from Natang Ngoh.


Post a Comment

unfoolgiven unblogiven

{picture#https://fbcdn-profile-a.akamaihd.net/hprofile-ak-xaf1/v/t1.0-1/c34.34.431.431/s200x200/383495_666690133356462_1783821221_n.png} Unfoolgiven an Author Natang Ngoh Jahat Molek. Menulis dengan pancaendera lapis ke 13 Unblogiven. Berbicara dengan bahasa yang satu. {facebook#https://www.facebook.com/unfoolgiven.unblogiven} {twitter#https://twitter.com/unfoolgiven} {google#https://plus.google.com/107838683407031460551}
Powered by Blogger.