Wanita Diperkosa Tiga Lelaki Dalam Pejabat DAP
Lambaian dan tangisan seorang wanita di sebalik pintu jeriji besi berkunci berjaya menyelamatkannya semalam daripada terus dikurung di sebuah rumah kedai di Taman Seri Krubong, di sini, dan menjadi pelacur.
Mangsa berusia 22 tahun yang gagal melarikan diri kerana pintu di tingkat bawah bangunan dua tingkat berkunci, bagaimanapun, berjaya diselamatkan polis yang menerima panggilan orang awam kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Menurut sumber, mangsa yang dikurung di dalam sebuah premis di tingkat dua disedari seorang wanita yang kebetulan melalui kawasan itu untuk beli makanan di kedai berhampiran.
“Mangsa dikurung di dalam premis di tingkat dua hanya mampu menangis dan melambaikan tangan meminta pertolongan selepas turun ke bawah.
“Pada mulanya mangsa yang jelas keletihan hanya memberitahu dia kelaparan kerana tidak makan sejak semalam sebelum memberitahu dikurung dan dilacur kepada tiga lelaki sebelum wanita yang menemuinya menghubungi Balai Polis Tanjung Minyak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, polis kemudian bertindak memotong mangga pada pintu jeriji besi premis berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Perak dibawa ke premis itu oleh dua lelaki berusia lingkungan 30-an kira-kira jam 10 malam kelmarin dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan tiga lelaki sebelum dikurung.
“Mangsa yang dikurung di premis ini sejak malam tadi (kelmarin) turun ke bawah untuk mendapatkan bantuan dan ditemui orang awam dalam keadaan keletihan kerana tidak diberi makan serta minum,” katanya di sini, semalam.
Salehhudin berkata, siasatan juga mendapati mangsa yang mengakui pernah berkahwin menyewa di Rembia, Alor Gajah sebulan lalu dan pernah dilacurkan di beberapa tempat sebelum dibawa ke premis berkenaan.
“Mangsa mengenali suspek yang bawanya ke sini kerana dia sebelum ini pernah dilacurkan di tempat lain. Mangsa yang masih trauma dibawa ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.
“Kita percaya terdapat sekurang-kurangnya lima suspek dalam kes ini dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan,” katanya.
Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Lim Jak Wong ketika dihubungi berkata, premis yang berpapan tanda pejabat DAP Cawangan Seri Krubong itu sudah tidak beroperasi selepas dibubarkan beberapa tahun lalu, namun papan tanda itu lupa diturunkan.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment