Pemimpin DAP Ajak Orang Bukan Islam Puasa Sehari
Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming menyeru masyarakat bukan Islam di negara ini untuk berpuasa selama sehari sebagai tanda solidariti kepada umat Islam di Xinjiang, China yang dilarang daripada menunaikan ibadah puasa oleh pemerintah di republik itu.
Beliau juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendukung kebebasan masyarakat Islam di Xinjiang, China untuk menunaikan rukun agama itu serta kebebasan beragama golongan minoriti di seluruh dunia.
Kian Ming menjelaskan beliau sendiri sudah masuk tahun kedua berpuasa.
“Sebagai seorang yang bukan Islam, saya menghargai peluang ini serta hak untuk berpuasa dalam bulan Ramadan untuk berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan yang beragama Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kian Ming, tindakan pemerintah di China melarang umat Islam di Xinjiang daripada berpuasa bermakna menyekat mereka daripada mematuhi salah satu daripada lima rukun Islam.
“Ini bertentangan dengan kebebasan beragama yang merangkumi kebebasan seseorang untuk menjalankan amalan keagamaan yang dianutinya,” kata pemimpin DAP itu.
Parti Komunis China dan pemerintah di Xinjiang sebelum ini menyekat sebarang perhimpunan berbentuk keagamaan atas sebab-sebab keselamatan. Ia bimbang perhimpunan seumpama itu dijadikan pentas untuk menyebarkan mesej gerakan pemisah.
Biro hal ehwal perdagangan di Turfan melalui laman webnya meminta kakitangannya tidak berpuasa atau terlibat dalam sebarang aktiviti keagamaan. Sebuah laman web lain menyebut: “Kami mengingatkan semua bahawa mereka tidak dibenarkan untuk berpuasa.”
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, larangan itu dikecam oleh kumpulan etnik Uighur yang melarikan diri dari China dan hidup dalam buangan.
Jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit berkata tindakan kerajaan China yang menindas itu akan mencetuskan lebih banyak ketegangan.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment