Liga Super: Lions XII disekat, kalah mengejut
Pendahulu Liga Super, Lions XII dari Singapura, gagal melebarkan pungutan mata apabila kalah mengejut 0-1 kepada PKNS Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Pemain import dari Perancis, Mickael Joseph Nicoise menghasilkan gol tunggal PKNS pada minit ke-79, menyebabkan Lions XII hanya memiliki kelebihan lima mata di persada liga dengan 33 mata selepas 16 perlawanan.
Kelantan, yang menghuni tangga kedua liga, pula hanya mampu menambah satu mata selepas terikat 1-1 ketika bertemu wakil kelab dari Terengganu, T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV.
Pemain tengah skuad Kijang, Nurul Azwan Roya membuka tirai jaringan pada minit ke-43 sebelum T-Team menyamakan kedudukan menerusi Khairul Izwan Khalid pada minit ke-74.
Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, Selangor hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Johor FC.
Mohd Ridwan Maon memberikan gol pendahuluan kepada Johor FC pada minit ke-19 sebelum penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban menyamakan kedudukan untuk Selangor pada minit ke-82.
Sementara itu, Terengganu dan Perak kembali menemui sentuhan berbisa mereka selepas menundukkan lawan masing-masing.
Perak mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu manakala Terengganu mencatatkan kemenangan tipis, 1-0 ke atas Negeri
Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Di Stadium Likas, Sabah melakukan kejuatan awal apabila membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Zainizam Marjan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Perak kembali menyusun strategi permainan dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Akmal Rizal Ahmad Rakhli minit ke-65.
Dua minit kemudian pemain pertahanan Sabah Mafry Balang kemudian memberikan gol kedua kepada pasukan pelawat selepas tertampan gol ke gawang sendiri.
Penyerang import Perak dari Serbia Lazar Popovic kemudian mengesahkan kemenangan mutlak pasukan tersebut menerusi jaringan pada minit ke-90.
Terengganu pula meraih tiga mata berharga selepas pemain lawan, S. Kunalan menjaringkan gol sendiri pada minit ke-66.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment