Kalah dengan Jerman, peminat carut Presiden Brazil
Peminat bolasepak Brazil meneriakkan kata-kata kesat kepada Presiden Dilma Rousseff selepas pasukan Jerman mendahului 5-0 sebelum tamat babak pertama perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2014 awal pagi tadi.
Rousseff bagaimanapun tidak ada di stadium menyaksikan perlawanan itu.
Tindakan penonton itu mengulangi apa yang terjadi semasa upacara pembukaan Piala Dunia tiga minggu lalu.
Selepas tamat 90 minit permainan, Brazil dimalukan oleh Jerman 7-1 dalam perlawanan yang pasti akan meninggalkan parut besar kepada negara bolasepak itu. Ia adalah kekalahan paling teruk Brazil dalam sejarah Piala Dunia.
Brazil bermain tanpa arah dengan ketiadaan tonggak utamanya, penyerang Neymar Jr. yang retak tulang belakang semasa perlawanan suku akhir melawan Colombia minggu lepas.
Rousseff dalam reaksinya terhadap kekalahan memalukan itu berkata beliau sedih dan kesal.
“Seperti semua rakyat Brazil, saya sangat-sangat berdukacita dengan kekalahan ini. Saya sangat simpati kepada peminat dan pasukan,” tulisnya di Twitter.
Penganalisis politik membayangkan sentimen buruk dengan tersingkirnya Brazil daripada Piala Dunia dengan cara yang cukup memalukan boleh mempengaruhi mood rakyat kepada pentadbiran Rousseff.
Tinjauan pendapat menunjukkan Rousseff mungkin berdepan pemilihan pusingan kedua dengan pencabarnya Aecio Neves.
Rousseff dilihat gagal meneruskan kejayaan pendahulunya, Luiz Inacio Lula da Silva yang juga mentor politiknya apabila tidak dapat melonjakkan ekonomi Brazil yang terbeban dengan inflasi serius.
Penganjuran Piala Dunia ini juga mendapat bantahan segelintir rakyat yang melihatnya sebagai pembaziran dan salah tumpuan pengurusan. Brazil dianggar membelanjakan AS$11 bilion (RM34.8 bilion) untuk pesta bolasepak ini.
Rousseff mengintai mandat penggal kedua dalam pilihan raya presiden Oktober ini.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment