Guru ‘Kaki Gaduh’ Ditukar Ke PPD Temerloh
Seorang guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mentakab yang menjadi perhatian setelah video dia menengking murid serta guru besar tersebar di laman sosial, telah ditukar bermula hari ini ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh.
Pengarah Pendidikan negeri, Rosdi Ismail berkata, pertukaran itu dibuat bagi memastikan guru berkenaan berada jauh daripada murid kerana dibimbangi dia bertindak lebih agresif selepas ini.
“Melalui tindakan agresif guru ini termasuk menengking murid dan guru besar dalam video yang dapat kita saksikan telah tersebar itu, maka kita ambil keputusan untuk menukar guru ini ke PPD Temerloh.
“Kita hanya letak dia di sana tanpa jawatan dan terserah kepada PPD Temerloh untuk menentukannya, pihak PPD telah pun dimaklumkan dan mereka akur serta terima keputusan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Video yang mula tersebar sejak 6 Julai lalu itu menjadi perhatian ramai pengguna laman sosial yang memberikan pelbagai reaksi terhadap kes tersebut.
Rosdi berkata, Jabatan Pendidikan negeri kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil.
“Kita telah pun ke sekolah tempat guru itu mengajar, berjumpa dengan guru besar dan guru terbabit juga kita telah jumpa.
“Jadi, siasatan kini masih dijalankan dan sementara menunggu siasatan selesai, guru berkenaan akan berada di PPD Temerloh,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan amat kecewa selain terkejut dengan apa yang berlaku.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment