Didorong naluri mahu cantik, Beverly Brignoni meniru apa yang dilakukan kebanyakan warga New York iaitu pergi ke Republik Dominica bagi menjalani pembedahan plastik kerana kos lebih murah.

Namun, nasib ibu muda berusia 28 tahun ini tidak sebaik orang lain. Dia meninggal dunia pada 20 Februari lalu. Doktor memberitahu keluarganya bahawa kematiannya disebabkan embolisme pulmonari yang teruk (saluran darah utama ke paru-paru tersumbat akibat kehadiran darah beku) ketika menjalani rawatan abdominoplasti atau mengempiskan perut dan pembedahan menyedut lemak di salah sebuah klinik yang disarankan rakannya.






Keluarganya begitu sedih dan menggesa pihak berkuasa tempatan menyiasat mengenai kematian Brignoni. Mereka mahu tahu apa sebenarnya yang terjadi dan apakah ada kecuaian di pihak klinik.



Sejurus selepas kematian Brignoni, Kementerian Kesihatan Republik Dominica membuat pemeriksaan ke atas Pusat Perubatan Vista del Jardin, tempat mangsa mendapatkan rawatan dan meng­arahkan bilik pembedahan ditutup buat sementara dengan alasan adanya bakteria dan pihak hospital melanggar peraturan kebersihan yang ditetapkan.

FotoPOST terakhir Brignoni di Facebooknya yang jelas menunjukkan rasa teruja untuk ke Republik Dominica. Gambar kecil, Beverly Brignoni.



Bagaimanapun, doktor yang menjalankan pembedahan dan klinik berkenaan enggan memberi sebarang komen mengenai kejadian terbabit.



Kematian Brignoni adalah perkara yang luar biasa, tetapi ia bukan kes terpencil. Kebimbangan terhadap perkembangan rancak industri pembedahan plastik atau kosmetik di Republik Dominica menyebabkan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan amaran dengan memberi peringatan ada beberapa kes rakyatnya mengalami komplikasi serius atau meninggal dunia selepas mendapatkan rawatan di sana.



Awal bulan lalu Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit memberi amaran kecemasan selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat melaporkan sekurang-kurangnya 19 wanita di lima negeri mendapat jangkitan mikobakterium yang serius dalam tempoh 12 bulan selepas menjalani prosedur kosmetik seperti pembedahan sedut lemak, mengempiskan perut dan memasukkan implan payudara di Republik Dominica.



Walaupun tiada laporan kematian, tetapi rawatan untuk jangkitan seperti ini jika dulu disebabkan penggunaan peralatan yang tercemar memerlukan pesakit mengambil antibiotik dalam tempoh yang lama. Malah, pesakit juga mungkin perlu dibedah bagi membuang tisu yang dijangkiti, kata pegawai perubatan di CDC, Dr Douglas Esposito.



“Sesetengah pesakit akhirnya perlu menjalani satu atau beberapa lagi pembedahan. Memang mereka akan sembuh, tetapi prosesnya memakan masa yang lama,” katanya.



Seperti Mexico, Costa Rica dan Thailand, Republik Dominica juga mempromosikan dirinya sebagai destinasi pelancongan perubatan. Ini kerana mereka yang mendapat­kan rawatan biasanya akan menghabiskan masa beberapa hari di mana-mana resort sebelum kembali ke tanah air masing-masing. Namun, tarikan utamanya ialah kos rawatan yang jauh lebih rendah (satu pertiga daripada kos di Amerika Syarikat) dan jaminan bahawa pesakit akan mendapat hasil yang setanding jika menjalani rawatan di negara sendiri.



Menurut Persatuan Pembedahan Plastik Republik Dominica, pada 2013 saja lebih 1,000 prosedur kosmetik dijalankan di negara itu dengan 60 peratus pelanggannya terdiri daripada warga asing.



Bahkan, laman Internet juga dipenuhi dengan iklan dan pengakuan mereka yang mendakwa menjalani rawatan di Republik Dominica. Ia seolah-olah menjadi industri kerana menyediakan pelbagai khidmat pelanggan termasuk promoter yang bertanggung­jawab mencari dan meyakinkan pelanggan di Amerika Syarikat.



Dr Braun Graham, pakar pembedahan plastik di Sarasota, Florida berkata, dia sudah melakukan pembedahan ‘pembetulan’ ke atas ramai pesakit yang menjalani rawatan di luar negara.



Dia memberi peringatan, walaupun doktor asing itu berkelayakan, tetapi mungkin jururawat dan kakitangan sokongan tidak mendapat latihan secukupnya.





Penjimatan tidak berbaloi



“Langkah menjimatkan wang dengan cara mendapat­kan rawatan di luar negara tidak berbaloi, apatah lagi jika anda berhadapan dengan pelbagai risiko dan komplikasi yang boleh membawa maut,” kata Graham.



Dalam kes Brignoni, beberapa rakannya menyarankan dia ke Pusat Perubatan Vista del Jardin kerana ia dikatakan klinik yang berprestij.



Doktor yang menjalankan pembedahan ke atas Brignoni ialah Guillermo Lorenzo, pakar bedah yang bertauliah dan mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Pembedahan Plastik. Bagaimanapun, di republik itu ada sekurang-kurangnya 300 pakar bedah yang menawarkan perkhidmatan pembedahan plastik yang tidak bertauliah, kata pengarah persatuan, Dr Severo Mercedes.



“Kerajaan sedar mengenai masalah itu, tetapi tidak me­ngambil sebarang tindakan. Apa yang boleh kami lakukan ialah membuat aduan, tetapi kami tidak boleh menahan sesiapa kerana kami bukan penguat kuasa undang-undang,” kata Mercedes.



Namun, laporan dan amaran yang dikeluarkan itu sedikit pun tidak menjejaskan jumlah kedatangan pelancong yang mahu mendapatkan rawatan kecantikan.



Februari lalu kerajaan Republik Dominica menutup klinik dikenali sebagai ‘Efecto Brush’ yang diiklankan secara meluas kerana beroperasi tanpa lesen.



Kes itu dirujuk sebagai kes jenayah selepas sekurang-kurangnya enam wanita menuduh klinik berkenaan menipu dan cuai. Bagaimanapun, pengarahnya masih bebas dan menafikan semua tuduhan.



Satu lagi kes, ialah Dr Hector Cabral yang dituduh menjalankan pemeriksaan ke atas wanita di spa dan pusat kecantikan di New York pada 2006 hingga 2009 tanpa lesen. Dia kemudian berpindah balik ke Republik Dominica dan meneruskan perkhidmatannya di sana. Apa yang menyedihkan ada wanita cacat selepas mendapat rawatan darinya. Cabral mengaku bersalah pada pertuduhan menawarkan perkhidmatan perubatan yang tidak diluluskan pada 2011.



Pada 2009, pihak berkuasa mengheret Dr Johan Tapia Bueno ke mahkamah kerana menjalankan pembedahan plastik di pangsapurinya selepas beberapa wanita termasuk seorang personaliti televisyen mendakwa dia cuai dan menyebabkan mereka mendapat jangkitan kuman. Namun, sementara menunggu dibicarakan, dia membuat rayuan tidak bersalah ke atas semua pertuduhan.



Dalam kes Brignoni, peguam masih menunggu laporan autopsi. Ini kerana Brignoni sampai ke Republik Dominica pada tengah malam dan terus menjalani pembedahan keesokan paginya. Isu utama di sini ialah adakah dia menerima penilaian perubatan secukupnya sebelum dibedah.



Kata peguamnya, Juan Linares, duduk beberapa jam di dalam kapal terbang boleh menyebabkan darah terkumpul pada kaki dan ia meningkatkan risiko embolisme.



Brignoni dikatakan membayar kira-kira RM20,000 untuk prosedur sedut lemak, mengempiskan perut dan pembedahan payudara. Namun akhirnya dia membatalkan hasrat untuk mencantikkan payudara dan mahukan baki wangnya di­kembalikan. Dia sebelum ini menjalani pembedahan pe­ngecilan saiz perut dan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 80 kilogram.



Ternyata Brignoni begitu teruja untuk menjalani rawatan kecantikan itu. Post ter­akhirnya di Facebook ialah gambar tangannya memegang pasport dan tiket penerba­ngan dari New York ke Santo Domingo.



“Dia benar-benar mahukan pembedahan itu. Dia mahu penampilan dan kehidupan yang lebih baik dengan pembedahan itu,” kata ibu angkatnya dengan nada sedih. Kejadian ini membuktikan, apa yang dianugerahkan Tuhan itu adalah yang terbaik. - AP



sumber





Entri: Sanggup Hilang nyawa mahu cantik Republish from: http://isuterhangat.blogspot.com/2014/04/sanggup-hilang-nyawa-mahu-cantik.html

Post a Comment

unfoolgiven unblogiven

{picture#https://fbcdn-profile-a.akamaihd.net/hprofile-ak-xaf1/v/t1.0-1/c34.34.431.431/s200x200/383495_666690133356462_1783821221_n.png} Unfoolgiven an Author Natang Ngoh Jahat Molek. Menulis dengan pancaendera lapis ke 13 Unblogiven. Berbicara dengan bahasa yang satu. {facebook#https://www.facebook.com/unfoolgiven.unblogiven} {twitter#https://twitter.com/unfoolgiven} {google#https://plus.google.com/107838683407031460551}
Powered by Blogger.