• Pelajar Somalia yang maut hasrat mohon PR Malaysia

  • Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan di KM11 Jalan Bentong-Raub dekat Bilut di sini, awal pagi tadi. Kemalangan tersebut menyebabkan tiga maut iaitu Suhaisam Che Abdulla, 33, termasuk sepasang suami isteri Zarifah Alias, 26, dan suami Saeed Mohamad Mohamud Abdalla (gambar kecil), 31, warganegara Somalia manakala sepuluh lagi parah selepas bas dua tingkat yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh tiang elektrik sebelum terbalik. Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Nor Mansor berkata, nahas jam 12.30 itu berlaku semasa bas dua tingkat yang membawa 68 penumpang itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kota Bharu. - Foto Bernama





BENTONG - Warga Somalia, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla yang maut dalam kemalangan bas ekspres di Km 11, Jalan Bentong-Raub dekat Bilut di sini tengah malam tadi dikatakan berhasrat memohon kerakyatan tetap (PR) negara ini.



Rakannya Muhammad Zaki Omar berkata Allahyarham dalam proses memohon PR Malaysia setelah berkahwin dengan wanita tempatan Zarifah Alias, 26, yang berasal dari Kampung Padang Jeman Salor, Kota Baharu tahun lepas.



Zarifah juga meninggal dalam kemalangan itu. "Arwah amat berminat untuk tinggal di negara ini dan dalam proses memohon PR Malaysia. Sudah kerap kali dia beritahu perkara ini kepada saya lebih-lebih lagi selepas dia berkahwin," kata Muhammad Zaki kepada Bernama di Hospital Bentong hari ini.



Menurutnya Saeed Mohamad sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dan dijangka menamatkan pengajiannya dua tahun lagi.



Muhammad Zaki berkata Zarifah sedang hamil empat bulan dan mereka berdua dalam perjalanan pulang ke kampung Zarifah di Kota Baharu.



Saeed Mohamad juga mahu melawat adiknya Mariam yang belajar di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Jenazah kedua-duanya difahamkan dibawa pulang ke kampung halaman Zarifah untuk dikebumikan selepas disembahyangkan di luar bilik mayat Hospital Bentong selepas solat Zohor.



Sanak saudara dan rakan-rakan pasangan suami isteri itu berkumpul di Jabatan Forensik hospital berkenaan.



Dalam kemalangan itu, tiga maut sementara 10 yang lain termasuk pemandu bas cedera parah. Bas dua tingkat itu datang dari Kuala Lumpur menuju Kota Baharu sebelum ia terbabas serta terbalik.



Sementara itu beberapa orang penumpang menceritakan detik-detik cemas mereka. Norzamera Abd Manaf, 24, yang sedang mengandung empat bulan berkata beliau dan anaknya Nur Qaseh Qaisara Mohd Rizwan, 2 tahun, sepatutnya duduk di bahagian belakang di tingkat atas bas iaitu tempat duduk salah seorang mangsa yang maut.



Bagaimanapun beliau telah bertukar tempat duduk dengan mangsa kerana mersakan tempat duduk tersebut tidak selesa baginya.



"Mungkin belum ajal saya, jika tidak mungkin saya dan anak saya merupakan salah seorang mangsa yang maut," kata pegawai sebuah syarikat swasta ini.



Beliau yang menaiki bas di Puchong, Selangor untuk ke Kota Baharu berkata beliau langsung tidak menyedari kemalangan tersebut kerana tertidur sebaik sahaja bas itu keluar daripada Hentian Bas Putra.



Norzamera menerima enam jahitan akibat cedera pada tangan dan belakang kepala dan dirawat di Hospital Bentong.



Tuan Rosnani Tuan Mohd Din, 22, dari Pasir Puteh yang duduk di bahagian kiri tingkat atas bas berkata beliau yang tertidur sepanjang perjalanan hanya tersedar apabila merasa dirinya dihempap.



"Saya hanya tersedar apabila terasa dihempap oleh benda berat sebelum dibantu di bawa keluar oleh salah seorang daripada tiga rakan saya yang turut menaiki bas yang sama," katanya.



Beliau yang cedera di bahagian belakang berkata keadaan dalam bas selepas kemalangan kelam kabut dengan mereka yang tidak tercedera membantu mengeluarkan mangsa yang cedera dari bas.



Pekerja Tenaga Nasional Berhad, Ruwaidi Jusoh, 35, dari Telipot, Kota Baharu berkata beliau dalam perjalanan pulang setelah menghadiri kursus selama empat hari di Bangi, Selangor.



"Saya naik bas dari Putrajaya kira-kira pukul 10 malam dan ketika sampai di satu selekoh berhampiran Mempaga, tiba-tiba bas itu seakan-akan hilang kawalan dan melambung menyebabkan kebanyakan penumpang menjerit sebelum bas itu melanggar tiang elektrik dan terbalik," katanya.



Beliau yang disahkan lebam di bahagian paru-paru berkata para penumpang terpaksa keluar melalui bumbung bas dengan dibantu pihak bomba sebelum dibawa ke hospital. - Bernama



sumber