- Persediaan peralatan dilakukan Ayob sebelum menyampaikan ceramah menguruskan jenazah.
LANGGAR - Tanggungjawab sebagai juru mandi jenazah tidaklah sehebat seperti bidang pekerjaan lain kerana tugasnya hanyalah untuk membersihkan dan memandikan jenazah kerana mereka adalah individu terakhir yang akan membersihkan jenazah sebelum dikebumikan.
Bagaimanapun pekerjaan ini sebenarnya tersirat pelbagai dugaan yang perlu ditempuhi dengan cabaran hingga kadang kalanya sukar diterima akal.
Sebagai juru mandi jenazah memerlukan kesabaran, keberanian serta amanah kerana ia adalah antara kriteria yang perlu ada bagi melakukan tugas itu.
Perkara ini diakui sendiri Ayob Saad, 73, seorang juru mandi jenazah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar yang mengalami pelbagai suka duka sebagai juru mandi jenazah selama hampir 40 tahun sejak 1975.
Menurutnya, dia mula melibatkan diri dalam pekerjaan ini apabila melihat ramai yang kurang berminat untuk menjadi juru mandi jenazah kerana cabaran dan amanah yang perlu dipatuhi.
"Sebelum menjadi juru mandi, saya mempelajari dari sembilan guru supaya dapat mendalami ilmu mandi jenazah seperti yang dikehendaki oleh agama kerana ia merupakan Fardu Kifayah yang dituntut Islam.
“Sepanjang pengalaman, pelbagai cabaran dan dugaan saya tempuhi tetapi semuanya dapat diatasi dengan baik kerana setiap perbuatan yang dilakukan mestilah berniat baik walaupun kepada mayat,” katanya kepada Sinar Harian.
Ayob berkata, pelbagai kejadian bukti kebesaran ALLAH SWT dapat disaksikannya sepanjang berkhidmat sebagai juru mandi jenazah.
“Pernah saya terpaksa memandikan jenazah yang badannya terdapat tatu dan saya terkejut apabila melihat mukanya bertukar menjadi kehitaman serta menakutkan.
“Malah sejak akhir-akhir ini semakin ramai dalam kalangan remaja sanggup meletakkan kekacang ke dalam kemaluan mereka dan ini tidak perlu tunggu menerima balasan di kubur, keadaannya di dunia pun sudah menakutkan jika dapat melihatnya,” katanya.
Menurutnya, bagi jenazah yang bermasalah semasa hidup kadang kala ketika memandikan mayatnya sering menimbulkan masalah dan hanya ALLAH sahaja yang mengetahuinya.
"Pernah ketika menguruskan mandi jenazah, muka mayat itu nampak seperti tidak disenangi ketika urusan mandi dilakukan," katanya.
Selain berhadapan dengan mayat bermasalah, Ayob juga turut memandikan mayat kanak-kanak yang baru dilahirkan dengan tidak mempunyai paras rupa seperti manusia.
"Saya pernah memandikan mayat kanak-kanak yang tidak mempunyai mata manakala telinganya pula agak pelik dan menakutkan. Bagaimanapun sebagai memikul tanggungjawab saya terpaksa menunaikannya sebagai memegang amanah,” katanya.
Ayob berkata, peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ialah terpaksa menguruskan mayat yang terputus kepala pada waktu tengah malam hanya berseorangan.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila mengurus jenazah yang sentiasa mengamalkan ajaran Islam, banyak peristiwa yang pernah dilaluinya apabila menguruskan jenazah dalam kalangan mereka yang mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.
“Beberapa tahun lalu, saya pernah memandikan jenazah seorang bekas anggota tentera dan paras rupanya seperti seorang yang tersenyum seolah-olah terbayang sesuatu indah yang dilihatnya.
"Dalam menguruskan jenazah seperti ini, ia sangat mudah dan tanpa memberi sebarang masalah,” katanya.
Ayob berkata, setiap kali melihat kejadian seperti itu, dia akan memanggil waris keluarga itu supaya dapat melihat kebesaran ALLAH SWT kepada jenazah seperti itu.
“Saya difahamkan oleh keluarga terbabit bahawa jenazah adalah seorang yang sering melakukan ibadat dan sentiasa membaca al-Quran sebagai rutin hariannya.
"Saya nasihatkan anak cucunya supaya mengikut jejak bapa mereka semasa di dunia lagi,” katanya.
Menurutnya, selama hampir 40 tahun menjadi juru mandi jenazah, dia tidak pernah diganggu makhluk halus mungkin kerana dia sering mengamalkan bacaan ayat al-Quran sebagai pendinding diri setiap kali melakukan pengurusan jenazah.
Bagi mengenang jasanya selama ini, Ayob turut dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Sultan Kedah pada 2007 dan anugerah itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa masyarakat kini semakin menghormati jawatan yang dipikulnya itu.
Kini beliau juga turut menerima jemputan dari masjid sekitar Alor Setar bagi menyampaikan ceramah teknik pengurusan mandi jenazah khususnya kepada generasi baru.
sumber
Entri: Pegang amanah keluarga si mati Republish from: http://isuterhangat.blogspot.com/2014/04/pegang-amanah-keluarga-si-mati.html
Post a Comment