Gambar Terkini Bot Tempur CB204 TLDM Tiba Di Kota Kinabalu
Selepas lebih 72 jam berdepan ombak kuat dan cuaca buruk di tengah lautan termasuk hilang hampir 28 jam, lima kru daripada tujuh bot tempur CB204 selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, tepat jam 12.50 tengah hari tadi.
Mereka tiba bersama bot tempur yang ditunda oleh Kapal Diraja (KD) Ganas sejak jam 4 pagi semalam selepas ditemui keletihan berhampiran Terumbu Layang-Layang di perairan pantai barat Sabah pada jam 6.49 petang kelmarin.
Ketibaan mereka disambut oleh Panglima Wilayah Laut 2, Datuk Mohd Rosland Omar serta ahli keluarga dan sanak-saudara yang menunggu.
Lima kru itu ialah Leftenan Azri Bakar yang mengetuai CB204, Bintara Muda Ince Ewin, Bintara Muda Nor Azuan Ariffin, Leftenan Komander Sulhajji Daah dan Lans Koperal I Azhry Maani.
Petang semalam, dua kru bot terbabit, Bintara Kanan Charles Cristopher Muni dan Bintara Muda Steven Hudson yang mengalami masalah kesihatan, diterbangkan terus ke Pangkalan TLDM dengan pesawat Super Lynx untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.
Charles dilaporkan mengalami sakit perut manakala Steven terkena renjatan elektrik.
CB204 hilang di perairan Pulau Mengalum, jam 11.15 pagi Ahad lalu selepas hilang komunikasi dengan kapal pengiring KD Paus ketika dalam pelayaran ke Terumbu Layang-Layang.
Berikutan itu, TLDM melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dibahagikan di empat sektor di perairan pantai barat Sabah sebelum menerima isyarat daripada CB204 pada jam 3 petang kelmarin.
Bot berkenaan kemudian ditemui selamat pada jam 6.49 petang hari sama.
This entry passed through the Full-Text RSS service - if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.
Post a Comment